Monday, 1 April 2013

Plutonik di bawah langit salji...

Cikgu Fauzi, guru Geografi Cik Sri ketika di tingkatan lima di sebuah tanah air di Pantai Timur beberapa tahun dulu pernah menyebut mengenai plutonik. Ya lah beliau mengajar Geografi, jadi plutonik itu sinonim benar dengan gunung berapi itu ini kan, tapi rupa-rupanya plutonik itu direfer kepada perhubungan singkat antara dua manusia, membuahkan perasaan dan ianya tidak ke mana. Entah betul atau tidak plutonik itu dirujuk kepada perhubungan segera tapi mesra itu, Cik Sri tidak pasti.

Cuma apa yang Cik Sri nak kongsi di sini..Cik Sri pernah melalui satu hubungan plutonik bisu tapi amat mengesankan. Ianya berlangsung singkat, pantas dan senyap tapi mengambil masa bertahun untuk dilupakan. Alkisahnya ketika itu Cik Sri berkursus di luar negara selama hampir sebulan. Setiap hari keluar pintu hotel yang sama, melalui jalan yang sama dan boleh dikatakan bertemu orang yang sama. Jadi dalam pada menapak setiap hari ke pusat pembelajaran, Cik Sri berpapasan dengan jejaka yang sama. Kami berjalan beriringan dan kadang kala dia di depan dan Cik Sri di belakang. Dia menginap di hotel berhadapan dengan hotel Cik Sri. Kadang kala apabila jenguk ke bawah, Cik Sri nampak dia sedang memanaskan badan menghisap cigar di ruang kaki lima hotel. Rambutnya sedikit mencecah bahu dan rugged juga orangnya. Itu memang taste Cik Sri.

Jadi, hendak dijadikan cerita hujan turun pada suatu petang dan Cik Sri ada payung tapi dia tiada. Biasalah, lelaki kan..manalah mereka terfikir untuk bawa payung. Jadi Cik Sri mengikut kata hati dan senyum lalu mempelawa dia untuk berteduh di bawah payung yang sama. Dia mengambil alih memegang payung kerana dia lebih tinggi. Sepanjang jalan balik ke hotel, senyap dan sunyi kecuali bunyi kenderaan. Perjalanan menjadi singkat dan serasa cepat amat. Sedar-sedar kami sudah berada di depan hotel. Owhh Tuhan..saat itu kalau boleh tidak mahu berakhir. Mungkin Cik Sri seorang saja ditimpa perasaan??? Bukan, dia juga sebenarnya.

"Terima kasih..payung.." katanya sepatah sambil senyum.
"Sama-sama.." jawan Cik Sri sopan, cuaca sejuk melingkari tubuh.
"Saya belanja teh nanti ya..." katanya..

Dan Cik Sri angguk seraya berlalu..waras atau tidak fikiran ketika itu, usah ditanya. Kenyataannya Cik Sri suka keadaan begitu. Dan kami kemudian menuju pintu hotel masing-masing. Kemudian apa jadi? Fikir-fikirlah kerana itu adalah satu keadaan dinamakan plutonik..


Bambu tembaga di tebing sungai
sampan berkolek mudik ke pantai
dalam air badan berpeluh
apakah tanda kasih nak luluh?

No comments:

Post a Comment