Friday 5 April 2013

Panglima Bugis mengamuk...

Cik Sri memang tidak menaruh harapan kepada Panglima Brahim Bugis..setakat suka suka dan memendam rindu sendiri saja. Sepertimana yang Cik Sri bualkan dengan Sri Hanum mengenai 'pelajaran' mencuri kesayangan itu..bukannya apa, ianya sekadar doa dan meminta kepada Allah supaya mencetus kerinduan di dalam hati Brahim Bugis terhadap Cik Sri. Selepas solat Cik Sri panjatkan doa kepada Allah supaya ada naluri ingatan Brahim Bugis terhadap Cik Sri.

Mungkin juga dengan perkenan Allah yang sangat mengetahui bahawa Cik Sri ikhlas menyukai Brahim Bugis...semalam si Brahim Panglima Bugis itu diamuk badai rindu agaknya kerana dia mengutusi Cik Sri pada jam 2 pagi. Terkejut Cik Sri kerana tanpa ribut tanpa petir apatah lagi salam tiba-tiba badai rindu mengamuk tiba.

Apabila sudah rindu, semua janji disanggupi saja dan tiba-tiba nak tahu apa Brahim Bugis minta pada Cik Sri?
"Abang nak makan nasi goreng yang Sri buat..boleh?" Katanya dalam bentuk sms.
"Nasi goreng saja?" Balas Cik Sri.
"Setakat ini abang minta itu saja, esok kalau dah jadi hak milik abang sepenuhnya..tahulah selera abang macam mana. Paling kurang tiga lauk atas meja, hehe..."
"Erkkk? Ingat kita tukang masak ke?" Klik! Seperti biasa Cik Sri tak akan benarkan dia berkata atau meminta lebih-lebih..dalam mimpi ada taman damai-damai astakona!

Kukur kelapa mencari santan
santan dimasak bergulai su'un
seminggu tak jumpa derita sebulan
bersua sekejap, terubat rindu setahun...

Thursday 4 April 2013

Hidup ini drama sangat kan..

Semalam sambil tunggu waktu solat Isya, Cik Sri sempat menghantar mesej kepada kawan Cik Sri yang jauh di mata, dekat di hati. Kawan Cik Sri ini namanya klasik sungguh, Sri Hanum. Orangnya kecil tinggi dan berkulit gelap dan dia antara kawan paling menyenang Cik Sri. Segala cerita suka duka Cik Sri dia tahu. Ya, kerana kami akrab dan saling mengingati anatara satu sama lain. Dan terkini dia tahu Cik Sri masih lagi mengingati En Rahim, aaa derita sungguh perasaan apabila kita menyukai orang tapi orang tidak tahu dan kita pun tidak tahu bagaimana nak menyampaikan kepada orang itu akan sekelumit perasaan kita ini...

Mesej Sri Hanum: Cik Sri, KL itu sangat panas seperti Kuantan inikah sekarang?
Cik Sri: Sangat panas Sri Hanum, aku tak tahan..
Sri Hanum: Kalau begitu bicaranya, Tanah Melayu ini sangat panaslah adanya ya sekarang ini..jadi bagaimana dengan Bugismu itu yang bernama Panglima Ibrahim wahai Cik Sriku?
Cik Sri: Aku masih penasaran dengan si Ibrahim Bugis itu. Dicurinya hatiku nan satu langsung disimpan kemas dalam sanubarinya...
Sri Hanum: Kalau begitu tatkala malam menjelma, kau curilah juga hatinya agar hasilnya dapat kau simpan dalam peti besimu yang di bawah katil itu..
Cik Sri: Sri Hanum, kau ajarkan aku bagaimana mahu mencuri hatinya supaya dia jatuh penasaran dan mendambakan aku berhari-hari lamanya. Aku sakit hati dengan dia..
Sri Hanum: Ajaran aku yang terdahulu kau amalkan dengan cermat dan tenang-tenang. Insya Allah Bugis itu akan datang kepadamu..
Cik Sri: Sudah aku laksanakan tapi hati aku ini kurang sabarnya kerana panglima itu sudah amat berbekas dalam kalbu aku sedang dia aku rasakan makin jauh dan jauh. Kau harus bantu aku Sri Hanum..aku sudah tak keruan lagi. Jadi bagaimanatilikanmu Sri Hanum? Wajar atau tidak aku berterusan menantikan dia?
Sri Hanum: Tadi aku menghangatkan sesuatu dinamakan bateri untuk menyambung percakapan kita yang senyap ini. Aduhai Cik Sri, kita juga rasa gundah kerana Cik Sri masih lagi teringat akan dia si Brahim Panglima Bugis itu, apa kiranya Cik Sri duduk dan bertenang tenangan dulu, malam nanti mulakan pencurian itu..
Cik Sri: Baiklah Sri Hanum, ada baik juga aku menuruti kata-katamu..

 Dan itulah dialog kami kalau bersms..katanya hidup ini adalah sebuah drama dan drama itu harus diberi warna supaya leka dan enak untuk dilakonkan...

Bunga sena di paruh belibis
terbang hilang di balik mentari
Brahim itu panglima Bugis
kau curi hatiku, kau bawa lari...

Wednesday 3 April 2013

Barang yang lepas jangan dikenang...

Cik Sri dah beritahu..Cik Sri seringkalai tak dapat apa yang Cik Sri suka, terutamanya membabitkan orang atau individu, tapi yang Cik Sri yan terfikir itulah yang akan datang meluahkan perasaan mereka. Hendak ditolak, terasa bersalah, hendak diterima, bukan itu yang dipinta..arakian jadi lah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa, sayang sayang buah kepayang ditelan pahit dibuang sayang. Haaa anda pun pastinya faham apa yang Cik Sri nak sampaikan ini...

Kalau ikut hati boleh saja Cik Sri mengakhiri zaman bujang ini dengan segera kerana FDZ sentiasa menunggu kesudian Cik Sri untuk berkata ya, tapi bukan itu yang Cik Sri mahu. Cik Sri sudah anggap FDZ itu seperi abang kerana beza usia kami ialah 12 tahun dan dia juga bercakap seperti seorang abang dengan Cik Sri, jadi Cik Sri tak boleh mengubah hati ini untuk menerima kenyataan bahawa dia adalah orang yang akan baring di sebelah Cik Sri...eee tak sesuai sangat. Maaflah FDZ, Cik Sri sudah set di dalam minda bahawa anda seorang abang yang baik...

Ada kawan Cik Sri kata, jangan memilih dalam mencari jodoh. Masalahnya bukan memilih, tapi kalau hati tidak boleh menerima, perkara ini tidak boleh dipaksa kan..biarlah Cik Sri bercinta dengan orang yang tidak tahu bahawa Cik Sri suka akan dia..En Rahim itu contohnya, sehingga kini Cik Sri masih suka akan dia walaupun dia tidak tahu bahawa Cik Sri bermaksud terhadap kata-kata yang diucapkan sebelum ini.

Tak mengapalah, kita sayang kepada seseorang itu tidak bererti kita boleh memilikinya...

Bulan mengambang cerah sepekan
molek sungguh kilau rupawan
sayang sahabat kita ingatankan
sayang buah hati, kita rinduan..

Tuesday 2 April 2013

Jangan kesal..

Kita dah sentiasa baca kat FB atau blog atau statement berbunyi, 'Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.' Sebenarnya memang satu kenyataan bahawasanya kita sudah rancang dengan amat baik tapi ia tidak berlaku seperti yang kita atur..kenapa? Kerana Allah ada aturannya sendiri dan sudah pasti aturannya itu adalah yg terbaik untuk kita..cuma kita je kadang kala sibuk nak pertikai.

Kahwin pun boleh bercerai, apatah lagi bertunang, tak hairan kalau tiba-tiba putus tunang dan janganlah berasa seperti hidup sudah berakhir kalau ditinggalkan kekasih hati..itu semua adalah pelajaran awal untuk kita lebih peka dengan sifat lelaki..

Cik Sri sendiri banyak kali mengalami patah hati, tapi hingga kini Cik Sri terus bersemangat untuk jatuh cinta lagi...hehe!


Terbang tinggi burung merpati
singgah hinggap di dahan celagi
patah tumbuh hilang berganti
patah hati kucari lagi..

Monday 1 April 2013

Kesayangan yang ini...

Dua tiga hari ini teringat benar kepada kesayangan Cik Sri yang satu ini. Dia seperti biskut coklat chip dalam hidup Cik Sri. Sekejap ada dan sekejap tak ada...namun rindu sentiasa bertamu untuk mendengar suaranya yang poyo dan mendengar terus mendengar akan jokenya yang sentiasa di luar dugaan. Cik Sri suka usik dia ketika nak masuk waktu solat. Lazimnya Cik Sri akan text "bangun! subuh dah nak balik rumah." Kadang kala mesej ini berbalas dan ada kalanya tidak. Cik Sri tidak hairan sebab tahu si dia ini urusannya merata-rata. Kalau tidak berbalas maknanya dia di luar kawasan.

Tiba-tiba selepas beberapa minit..ada mesej masuk ke hp Cik Sri.
"Sayang dah solat subuh ke?" Cik Sri tahu dia yang hantar walaupun tiada namanya sebab Cik Sri sengaja tidak 'key in' nombornya di hp Cik Sri untuk mengelak sakit hati...sebab dia ini jenis pemalas hangit untuk reply mesej.
"Dah..tengok oranglah.."
"Macam mana nak tengok, tak de kat depan.."
"Mengada-ngada..."
"Eh siapa mengada-ngada ni.."
"Abanglah.."
"Abang juga yang salah..???"
"Ya..tak reti-reti nak sms kita ni..."
"Abang tak de dalam KL..."
Klik! Cik Sri putuskan talian...hahahaha padan muka dia, biar dia tahu bagaimana rasa apabila dihindari. Hati Cik Sri suka kalau dapat buat kesayangan yang ini rasa bersalah. Biarkan!


Hati merintih berkaleng sendu
jiwa sayu menangis meratap
dekat dibenci jauh dirindu
bila malam, teringat-ingat...

Plutonik di bawah langit salji...

Cikgu Fauzi, guru Geografi Cik Sri ketika di tingkatan lima di sebuah tanah air di Pantai Timur beberapa tahun dulu pernah menyebut mengenai plutonik. Ya lah beliau mengajar Geografi, jadi plutonik itu sinonim benar dengan gunung berapi itu ini kan, tapi rupa-rupanya plutonik itu direfer kepada perhubungan singkat antara dua manusia, membuahkan perasaan dan ianya tidak ke mana. Entah betul atau tidak plutonik itu dirujuk kepada perhubungan segera tapi mesra itu, Cik Sri tidak pasti.

Cuma apa yang Cik Sri nak kongsi di sini..Cik Sri pernah melalui satu hubungan plutonik bisu tapi amat mengesankan. Ianya berlangsung singkat, pantas dan senyap tapi mengambil masa bertahun untuk dilupakan. Alkisahnya ketika itu Cik Sri berkursus di luar negara selama hampir sebulan. Setiap hari keluar pintu hotel yang sama, melalui jalan yang sama dan boleh dikatakan bertemu orang yang sama. Jadi dalam pada menapak setiap hari ke pusat pembelajaran, Cik Sri berpapasan dengan jejaka yang sama. Kami berjalan beriringan dan kadang kala dia di depan dan Cik Sri di belakang. Dia menginap di hotel berhadapan dengan hotel Cik Sri. Kadang kala apabila jenguk ke bawah, Cik Sri nampak dia sedang memanaskan badan menghisap cigar di ruang kaki lima hotel. Rambutnya sedikit mencecah bahu dan rugged juga orangnya. Itu memang taste Cik Sri.

Jadi, hendak dijadikan cerita hujan turun pada suatu petang dan Cik Sri ada payung tapi dia tiada. Biasalah, lelaki kan..manalah mereka terfikir untuk bawa payung. Jadi Cik Sri mengikut kata hati dan senyum lalu mempelawa dia untuk berteduh di bawah payung yang sama. Dia mengambil alih memegang payung kerana dia lebih tinggi. Sepanjang jalan balik ke hotel, senyap dan sunyi kecuali bunyi kenderaan. Perjalanan menjadi singkat dan serasa cepat amat. Sedar-sedar kami sudah berada di depan hotel. Owhh Tuhan..saat itu kalau boleh tidak mahu berakhir. Mungkin Cik Sri seorang saja ditimpa perasaan??? Bukan, dia juga sebenarnya.

"Terima kasih..payung.." katanya sepatah sambil senyum.
"Sama-sama.." jawan Cik Sri sopan, cuaca sejuk melingkari tubuh.
"Saya belanja teh nanti ya..." katanya..

Dan Cik Sri angguk seraya berlalu..waras atau tidak fikiran ketika itu, usah ditanya. Kenyataannya Cik Sri suka keadaan begitu. Dan kami kemudian menuju pintu hotel masing-masing. Kemudian apa jadi? Fikir-fikirlah kerana itu adalah satu keadaan dinamakan plutonik..


Bambu tembaga di tebing sungai
sampan berkolek mudik ke pantai
dalam air badan berpeluh
apakah tanda kasih nak luluh?

Kalau nak gugur, gugurlah nangka...

Cik Sri masih ingat bila sahabat baik Cik Sri bertanya, apakah yang perlu dia lakukan kerana bekas tunangan tak jadinya muncul kembali dan menagih kasih walaupun masing-masing sudah bermilik. Yang seorang beranak tiga dan yang seorang pula beranak empat. Masing-masing sudah ada tanggungjawab terhadap diri, anak dan keluarga dan paling besar tanggungjawab kepada Allah, sebagai ketua dan induk keluarg.

Nah, menjeruk rasa memendam rahsia kerana aturan hidup tidak sama seperti dulu. Cik Sri kata, abaikan saja perkara yang tidak membawa kebaikan. Keluarga adalah paling utama, kita bukan hidup di Barat, tapi kita hidup di dalam peradaban Timur yang mengambil kira akan adab dan tata susila kehidupan yang kena pada landas normal dan manusia.

Jadi, Cik Sri tidak mahu memberi nasihat lebih-lebih kepada rakan itu tadi kerana dia berhak menentukan sendiri hala tuju hidupnya. Cik Sri pun ada kerinduan yang membuak-buak bertamu dalam diri tapi pada siapa harus dihalakan..buat masa kini kesayangan yang dinamakan En Rahim itulah yang masih Cik Sri inginkan...biar..biar masa jadi penentu. Biarlah dia tidak tahu pun, tapi ingin Cik Sri nyatakan, dia ada kualiti yang Cik Sri mahukan..noktah!


Kalau nak gugur, gugurlah nangka
jangan tertimpa di ranting pauh
kalau nak tidur, tidurlah mata
jangan terkenang orang yang jauh.